Welcome

animasi-bergerak-selamat-datang-0291

Thursday, 26 November 2015

Variasi

Variasi Pemantun


Assalamualaikum dan Salam 1Bahasa,


Bertemu lagi dalam entri terbaharu saya dan kali ini saya ingin menyenaraikan beberapa variasi dalam melagukan pantun contohnya pantun yang bertemakan:

a) Budi,
b) Laut,
c) Burung,
d) Harimau,
e) Ayam,
f) Kias Ibarat dan 
g) Kasih

a) Pantun Bertemakan Budi


Jauh ke tengah Pulau Undan,
Pasang Layar pengganti dayung;
Bukan nasib permintaan badan,
Kerana budi jasad menanggung.

Tebu sebatang beruas-ruas,
Sebatas bersama sayur pegaga;
Kerana budi tak minta balas,
Pahit maung ditahan juga.

Pokok selasih di petak keladi,
Buat hiasan laman Cik Nyonya;
Hilangkan kasih kerana budi,
Kalau emas datang gantinya?

Duduk menyukat beras padi,
Beras pulut ambil secupak;
Kalau tahu menilai budi,
Apa dipandang emas perak?

b) Pantun Bertemakan Laut


Pokok nibung batang berduri,
Rumah buruk tidak berpasak;
Saya tidak pandai menyanyi,
Suara serak lagunya rosak.

Bawa lengkuas dari Daik,
Gunung Banang tampak berbalam;
Laut luas cuaca pun baik,
Hati senang belayar malam.

Buat kuih beras pulut,
Hendak wangi dicampur pandan;
Layar dikembang kemudi kupaut,
Kalau tak laju celaka badan.

Nampak api di Paya Lebar,
Orang berhenti di pengkalan;
Laju-laju perahu belayar,
Jaga kemudi jaga haluan.

c) Pantun Bertemakan Burung


Rempah ratus di dalam balang,
Tidak dicampur dengan ketumbar;
Mana sama si burung helang,
Ikan di sungai boleh disambar.

Orang meraut bilah rotan,
Duduk tersandar di tengah rumah;
Jadi penunggu pokok di hutan,
Buah ranum burung tak jamah.

Pergi ke pantai tangkap belangkas,
Dapat dua bagi bertiga;
Sudahlah kuat lagi tangkas,
Ayam didik pun di sambar juga.

Tengah hari cuaca panas,
Turun ke sawah bakar jerami;
Sudah buas lagi ganas,
Ditembak orang jatuh ke bumi.

d) Pantun Bertemakan Harimau


Sampan belayar ke Tanjung Balai,
Bawa orang Tanjung Rimau;
Jaga diri jangan lalai,
Silap-silap dicakar harimau.

Sirih naik junjung patah,
Makan sekapur pinangnya kering;
Hilang kuat hilang gagah,
Disimpai kancil harimau terbaring.

Kayu lebam di dalam paya,
Ambil sebatang dibuat galah;
Kalau tak ada ilmu perdaya,
Harimau gagah tak akan kalah.

Buah langsat buah rumbia,
Patah dahan jatuh bersepah;
Itulah adat dalam dunia,
Kuasa bukan kerana gagah.

e) Pantun Bertemakan Ayam


Pakai baju kasa jarang,
Cucuk sanggul bunga melati;
Sama kuat sama garang,
Jaguh bangkit menentang lagi.

Terbang punai melayang-layang,
Pokok leban lebat buahnya;
Dalam bangun terhuyung-hayang,
Disabung jalak terkulai lehernya.

Mari hinggap di atas bumbung,
Merbuk jinak terlepas sangkarnya;
Sudah adat ayam bersabung,
Ada menang ada kalahnya.

Taruh mari di dalam dulang,
Buah cempedak dengan kepaya;
Kesian jaguh nasibnya malang,
Di mata pisau akhir hidupnya.

f) Pantun Bertemakan Kias Ibarat


Susun-susun batang sagu,
Hanyut ditarik dengan perahu;
Adat kami orang menunggu,
Adat tuan saya tak tahu.

Belah-belah si batang pinang,
Buat balai di rumah Pak Uda;
Sudah lumrah adat meminang,
Datang menyebut menghantar tanda.

Dinihari tengah malam,
Puput bayu terasa sejuk;
Pejam celik siang malam,
Jalan sampai kucing bertanduk.

Naik junjung pokoknya kacang,
Hujung petak pokok jerimin;
Tahun ini orang merancang,
Tahun depan naik pelamin.


g) Pantun Bertemakan Kasih


Kalau roboh Kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan;
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa saya taruhkan.

Pakai baju pakai butang,
Kain selempang letak ditepi;
Ikat janji bulan dan bintang,
Cahayanya terang sampai ke bumi.

Buah jering buah nangka,
Letak bersama buah keranji;
Sampai kering Laut Melaka,
Baru saya mungkirkan janji.

Berapa besar kereta keldai,
Besar lagi kereta kuda;
Saputangan beli di kedai,
Cincin di jari apakah tanda?



Wassalam.











Monday, 16 November 2015

Warisan Budaya - Pantun

Pantun Lirik Nyanyian (Madulara)


Assalamualaikum dan Salam 1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara,


Hari ini saya ingin membicarakan mengenai pantun yang merupakan elemen terpenting dalam joget lambak.  Kerancakan berbalas pantun akan menentukan tahap meriahnya, selain daripada penampilan gadis-gadis bertandak.  Pantun yang baik dan didendangkan dengan baik serta menepati jawapan akan mendapat perhatian malah diberi tepukan oleh penonton.

Pantun yang didendangkan hanya pentun empat kerat atau disebut juga pantun empat baris dengan lengkap dua baris pembayang dan dua baris lagi maksudnya.  Seperti contoh:

Lembu baru kereta baru,
Baru sekali masuk Melaka,
Tuan baru saya pun baru,
Belum pernah kenal biasa.

Bagi masyarakat Melayu lama, pantun menjadi hiasan bibir dan lumrah baik semasa perbincangan, urusan rasmi, adat istiadat, perkahwinan atau menguruskan hal-hal masyarakat sekampung seperti:

Asam rumbia dibelah-belah,
Buah salak di dalam raga,
Dunia ikut firmah Allah,
Akhirat nanti mendapat syurga.

Orang bergalah dari Jambi,
Putus ikatan rakitnya pecah,
Belum kembang bunga di sini,
Menjahit sesat memasak mentah.

Pasang lilin malam Jumaat,
Nampak berbalam cahaya api,
Tepuk bantal panggil semangat,
Semangat datang dalam mimpi.

Bawa dupa dari Langkat,
Tempat orang bakar setanggi,
Sudah sekata dalam muafakat,
Tidak boleh diungkit lagi.

Pantun adalah puisi lama.  Sikap orang Melayu yang lemah lembut, bersopan santun, tidak suka menyatakan sesuatu yang boleh menyentuh hati pihak lain dengan terus terang, maka pantunlah menjadi alat penyampaiannya. Kerana melalui pantun, sesuatu yang disampaikan atau diluahkan dapat mengelak daripada perasaan seseorang yang terusik menjadi berang serta merta. Tetapi maksud yang diluahkan sangat tepat dan kesannya sangat mendalam.

Pantun boleh menyimpul pengertian yang luas dan maksudnya sampai ke dalam lubuk hati orang yang mendengarnya. Kias ibarat dan sindiran mampu dibawa oleh pantun. Kata-kata pedas atau ungkapan mengusik tidak begitu ketara lahirnya, lantaran susunan kata-katanya yang indah.  Sebuah pantun boleh menyimpul banyak makna.  Contohnya:

Dari kuala menghilir rakit,
Batang buluh diikat rotan,
Jangan cuba cari penyakit,
Harimau tidur hendak kejutkan.

Pantun adalah alat komunikasi antara satu pihak dengan pihak yang lain. Dalam joget lambak, seperti Dondang Sayang, pantun yang didendangkan adalah dicipta dan dikarang secara spontan ketika itu juga.  Pemantun mestilah cekap menangkap maksud pantun yang dijual dan segera membeli dengan pantun jawapannya.

Sungguhpun begitu, pantun adalah puisi lama yang hidup dan tidak statik. Pantun boleh berubah mengikut kecekapan penciptanya atau berdasar masa dan alam sekitarnya. Sekian.

Wassalam.


    

Saturday, 14 November 2015

Merah Saga

Asas Teater - Bahagian III

Live Band IKTBN AG - merupakan penyanyi solo team nasyid membuat persembahan... bagus lontaran vokalnya.

Assalamualaikum & Salam 1Bahasa,


Semoga anda semua berada di dalam rahmat dan hidayah oleh Allah swt. Bertemu lagi di nukilan saya yang seterusnya dan pada entri kali ini saya suka untuk membicarakan mengenai asas teater bahagian terakhir.

Jika sebelumnya saya ada menulis mengenai definisi teater, olah tubuh, improvisasi, gerak dan penceritaan.  Hari ini saya akan menerangkan serba sedikit mengenai vokal dan asas teknikal semasa menghadiri Kem Sosio Budaya di Samudera Bidara Beach Resort.

Vokal


Kemahiran vokal diperlukan oleh seorang pelakon yang menggabungkan penggunaan suara untuk pentas dan lantunan vokal yang berirama. Kematangan dalam menggunakan vokal terselah apabila lontaran suara nampak sesuai dengan pelakonnya.  Latihan kemahiran menginterpretasi dibentuk dengan pembacaan naskhah sesorang pelakon.

Mengapa vokal penting bagi seseorang pelakon? Ini kerana mereka perlu:

  • menggunakan suara dan peringkat suara ketika persembahan
  • menyebut huruf serta mengucapkan ayat dengan jelas, padu, mantap dan kuat
  • berdialog mengikut kesesuaian watak dan situasi

Mengaplikasi teknik vokal dan dinamik suara (ton, intonasi, diksi dan artikulasi) dengan teknik berikut:

  • pengawalan pernafasan
  • kelancaran pengucapan
  • postur fizikal 

Pengucapan terbahagi kepada 4 jenis iaitu

  • pengucapan dinamika - penekanan kepada kata membawa maksud/pengertian tertentu
  • pengucapan tempo - memanjangkan kata untuk menimbulkan kesan keadaan, tempat, suasana dan kejadian yang bagaimana
  • pengucapan nada/tone - mengungkap suasana/keadaan, harapan atau kejadian yang berlaku yang dilontarkan
  • pengucapan pic - pengucapan pic bagi meninggikan suara atau merendahkan suara untuk menggambarkan keadaan yang sedang berlaku/suasana tempat

Artikulasi - kejelasan menyebut kata dengan menitikberatkan kepada membunyikan huruf vokal dan huruf konsonan untuk menghasilkan suku kata.

Intonasi - mencipta naik turun suara sesuai dengan keadaan, suasana dan tempat berlaku

Jenis pernafasan
  • Pernafasan dada
  • Pernafasan perut
Team Nasyid dari IKTBN Alor Gajah bergambar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan

Asas Teknikal


Tujuan mempelajari asas teknikal dalam seni teater ini ialah:


  • memahami peranan setiap ahli dalam produksi
  • memahami fungsi dan bentuk busana dan tatarias
  • memahami fungsi sinografi dalam pementasan

Peranan Tenaga Kerja Produksi dan Kreatif

  • menyediakan dan melaksanakan bahan produk berupa seni persembahan
  • mengurus dan memantau proses kreatif bersama karyawan atau seniman yang terlibat daripada hasil seni berbentuk teori atau idea hingga dapat dipamerkan.

Tata Busana

  • seni pakaian dan segala kelengkapan termasuk segala aksesori seperti topi, kasut, skaf, rantai, gelang dan segala unsur yang ada pada pakaian untuk menggambarkan watak

Tatarias

  • seni mengubah penampilan wajah menjadi lebih sempurna/seni mengubah wajah untuk menggambarkan karakter

Sinografi

  • adalah bersifat visual di mana ia menceritakan tentang set, kostum, solekan, props, cahaya dan bunyi

Yang Merah Itu Saga...

Wassalam... sedikt pesanan dari saya. 

Buatlah amalan baik walau sekecil manapun




Asas Teater 2

ASAS TEATER - bahagian II

Selesai ber 'flying fox' di Karnival Iskandar Nusajaya...

Assalamualaikum dan Salam 1Bahasa,


Bersambung pula dalam Seni Asas Teater yang pernah saya paparkan entrinya sebelum ini.  Jikalau dahulunya saya pernah menceritakan mengenai pengenalan teater dan olah tubuh.  Pada kali ini saya ingin membicarakan mengenai improvisasi, gerak dan penceritaan yang perlu dipelajari oleh seseorang yang ingin melibatkan diri dalam teater/lakonan.

1. Improvisasi


Improvisasi dalam teater membawa maksud mengubah, membaca, mengucap atau melakukan sesuatu tanpa persiapan. Perlakuan yang dihasilkan secara tiba-tiba, secara bebas dan bersahaja sama ada dengan menggunakan alatan atau tanpa peralatan.  Improvisasi terbahagi kepada 4 jenis iaitu:

  • Improvisasi alat
  • Improvisasi pergerakan
  • Improvisasi  kepekaan deria
  • Improvisasi situasi

Contoh Improvisasi.

Sebelum senam seni bersama rakan sebilik di 'roof top' Samudera Bidara Beach Resort

2. Gerak


Gerak dalam teater bermaksud meneroka dan melahirkan ekspresi melalui aktiviti seperti:

  • Gerak alam
  • Gerak meniru

Pergerakan merangkumi pelakuan-pelakuan keluar, masuk, menyeberang, duduk, bangun, naik turun tangga, berlari, melompat di atas pentas dan sebagainya.

Tujuan pergerakan ialah untuk:

  • mencantikkan produksi dan pementasan
  • menarik perhatian penonton kepada watak atau ruang tertentu
  • mengubahsuaikan adegan kelompok individu atau watak tertentu supaya tidak kaku dalam lakonan
  • menarik perhatian penonton kepada ruang lakon tertentu
  • menonjolkan emosi watak dan pelakon
  • menonjolkan latar belakang pentas dan juga suasana adegan
  • mengimbangi ruang pentas atau ruangan lakonan
  • tujuan teknikal untuk membaiki komposisi
Contoh Gerak dalam teater.

3. Penceritaan


Penceritaan atau kemahiran bercerita perlu untuk difahami oleh seseorang pelakon agar keyakinan diri seseorang dapat dibentuk semasa berhadapan dengan khalayak ramai.  Selain itu, pelakon mampu meneliti dan menginterpertasi bahan penceritaan yang disampaikan serta mampu mengaplikasi teknik dan kemahiran teater dalam penceritaan.  Teknik dan gaya penceritaan yang biasa digunakan ialah dengan menggunakan kaedah monolog dan monodrama.


Sekian, semoga bertemu di lain lembaran.


Wassalam.

Thursday, 12 November 2015

Joget Lambak

Orang Melaka Berjoget Lambak



Assalamualaikum & Salam 1Bahasa,



Kita masih berada dalam bulan bahasa kebangsaan dan seperti yang telah diperkatakan sebelum ini selain bahasa yang perlu dipertahankan, budaya Melayu yang lainnya juga perlu dipertahankan malah diperkembangkan lagi.

Joget lambak di negeri Melaka dipercayai datangnya dari pengaruh barat yang dibawa oleh Portugis. Mereka mulanya datang kerana hubungan dagang kemudiannya menghidupkan budaya bersuka-suka dan menari-nari selepas menyerang negeri Melaka. Mereka membawa sekali biola sebagai salah satu instrumen muzik dalam budaya mereka yang menawan hati penduduk tempatan. 

Di zaman silam, dalam setiap majlis perkahwinan akan adanya joget lambak yang akan diadakan pada sebelah malam.  Pemuzik akan bermain di hujung serambi sambil gadis-gadis penari menari di atas serambi atau di dalam rumah. 


Buah petai buah jering,
Buah cempedak belum masak,
Apa diintai celah dinding,
Orang bertandak joget lambak.


Kedatangan bulan Safar amat dinanti-nantikan oleh penari Joget Lambak. Bagi orang Melayu di Melaka, setiap hari Rabu minggu terakhir dalam bulan Safar adalah hari untuk bersuka ria yang disebut "Rabu Capuk".  Pada hari berkenaan, temasya terbesar akan diadakan di Tanjung Kling. Orang ramai berhimpun di sana mulai hari Selasa.  Paling meriah, kumpulan yang datang dengan kereta lembu.  Mereka akan berkampung dengan membawa semua peralatan kelengkapan termasuk makanan di sekitar kawasan kereta lembu.

Hari Rabu ketiga dalam bulan Safar, temasya Joget Lambak diadakan di Pulau Besar.  Manakala hari-hari Rabu sebelumnya akan diadakan di perkampungan secara kecil-kecilan seperti Bukit Gedung, Duyung, Pantai Nikmat dan Batu Gajah.

Joget Lambak tidak lagi popular selepas larangan dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri Melaka kerana Joget Lambak telah bertukar cara apabila pengaruh Inggeris mula menular.  Rentak Joget Lambak telah ditambah dengan rentak yang diimport dari Barat iaitu samba, rumba, caca, tango, mambo dan slow folk.  Paling ketara perubahannya ialah penari yang bertandak yang mana sejak dahulu hanya perempuan berpasangan dengan perempuan telah bertukar kepada perempuan dengan lelaki.  Pada zaman perubahannya, Joget Lambak ini disebut juga dengan nama Joget Karan.

Bahasa Kita Biarlah Bahasa Cinta...

Wassalam.


Wednesday, 11 November 2015

Ilmu Sepanjang Hayat

PEDAGOGI...



Assalamualaikum & Salam 1Bahasa,



Menjelang keputusan peperiksaan UPSR pada hari Selasa minggu hadapan, saya berminat untuk memperkatakan mengenai pedagogi dalam nukilan saya pada hari ini.  

Apa sebenarnya pedagogi ini?  Di mana biasa akan kita dengar perkataan pedagogi ini?  

Sebagai pelajar, pedagogi ini harus dekat dengan kehidupan anda kerana ia berkaitan seni pengajaran seseorang guru/pendidik/pengajar atau apa sahaja yang anda gelarkan kepada seseorang yang mencurahkan ilmu kepada anda.

Menurut Kamus A New English Dictionary, pedagogi sebagai ilmu pendidikan atau kaedah mengajar.  Kamus Dwibahasa menterjemahkan perkataan pedagogi sebagai ilmu pendidikan. Mengikut sejarah, perkataan pedagogi berasal daripada perkataan Yunani, pedagogue, yang bermaksud seorang tutor atau pendidik yang mempunyai bakat dan kecekapan melaksanakan tugas-tugas pengajaran dengan secara berkesan, khasnya dalam bidang perkembangan kanak-kanak dari segi kognitif, psikomotor dan afektif mereka.

Ilmu pedagogi ini sentiasa berkembang dari semasa ke semasa yang berubah mengikut perkembangannya.  Dengan bertambahnya kajian bercorak saintifik pada masa kini terhadap teori pengajaran dan pembelajaran berlandaskan psikologi perkembangan kanak-kanak, objektif pendidikan serta kurikulum sekolah, konsep pedagogi lebih tepat lagi dikatakan sebagai sains pengajaran dengan tujuan untuk mendapatkan hasil pengajaran yang berkesan.

Dalam kurikulum perguruan, Pedagogi merupakan suatu bidang Ilmu Pendidikan yang terpenting untuk dikaji dan dipelajari oleh guru-guru pelatih yang mengikuti kursus Ilmu Pendidikan di universiti pendidikan dan institut perguruan. Melalui kursus ini, guru-guru pelatih akan dapat dilatih menguasai kemahiran-kemahiran dan teknik-teknik yang berlandaskan teori pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Penguasaan kemahiran mengajar ini merupakan syarat yang mutlak untuk membantu guru menjalankan tugas dengan berkesan serta kecekapan secara profesional.

Melalui pedagogi, guru dapat menimba ilmu pendidikan dalam berbagai cabang seperti berikut;

  • pengurusan bilik darjah
  • interaksi dan komunikasi dalam bilik darjah
  • konsep, teori dan model pengajaran dan pembelajaran
  • pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran
  • perangkaan asas untuk penilaian
  • penilaian kendalian berasaskan sekolah
  • pemulihan dan pengayaan
  • pendidikan inklusif dan pendidikan khas


Ringkasnya, pengertian pedagogi boleh dihuraikan sebagai salah satu bidang ilmu pendidikan yang berkaitan dengan kajian secara saintifik atas prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah mengajar, merangkumi proses pengajaran yang optimum. (Pedagogi untuk Pengajaran dan Pembelajaran, Mok Soon Sang, 2011).  

Jadi, setelah berakhirnya Kem Sosio Budaya yang saya dan pelajar-pelajar IKTBN Alor Gajah hadiri, saya berpendapat guru-guru yang mengajar teater, tarian dan muzik sangat berkemahiran dan menarik.  Terima kasih Cikgu, Maafkan Kami Cikgu, Halalkan ilmu yang diberi dan Doakan kejayaan kami Cikgu.

Wassalam. 


Tuesday, 10 November 2015

Sosio Budaya

ASAS TEATER


Assalam & Salam 1Bahasa,


Bertemu lagi di lembaran baru saya pada hari ini. Nukilan saya hari ini bertemakan seni lakonan. Semasa menghadiri Kem Sosio Budaya yang lepas, salah satu slot yang dipelajari ialah asas teater. Teater bermaksud lakonan dan perbuatan dalam persembahan yang melibatkan pelakon, penonton, tempat yang ditetapkan dan masa yang telah ditetapkan.

Jenis-jenis teater

Terdapat dua jenis teater yang dimainkan iaitu teater tradisional dan teater moden.  Teater tradisional merupakan persembahan yang dimainkan masyarakat dahulu kala sebelum adanya panggung wayang dan televisyen. Manakala teater moden pula membawa maksud persembahan yang dimainkan selepas adanya  tempat yang dikhaskan untuk satu-satu pementasan seperti dewan, pentas atau auditorium.  Bentuk teater moden meliputi teater/drama pentas, teater muzikal, drama tari atau taridra.

Jenis-jenis pentas

Terdapat 4 jenis pentas yang biasa digunakan iaitu:

  1. Pentas Proceneum
  2. Pentas Semi Arena
  3. Pentas Arena
  4. Pentas Thrust/Catwalk

Pentas Proceneum ini hanya dapat dilihat dari satu arah sahaja.  Manakala Pentas Semi Arena pula biasanya dapat dilihat dalam bentuk separuh bulatan. Pentas Arena pula dapat dilihat dari sekeliling kerana pelakon bermain ditengah-tengah pentas seperti pentas gladiator sebagai contoh.  Pentas Thrust pula dikhaskan untuk pertunjukan fesyen dimana para model perlu bergaya dengan berjalan dalam bentuk T.

Komposisi pentas pula dibahagikan kepada sembilan bahagian utama supaya memudahkan pekerja pentas atau pelakon menerima arahan daripada pengarah sesebuah produksi.  Contoh komposisi seperti berikut:

1. URS                4. UCS                7. ULS
2. CRS                5. CS                  8. CLS
3. DRS                6. DCS                9. DLS

URS - Upper Right Stage
CRS - Centre Right Stage
DRS - Down Right Stage
UCS - Upper Centre Stage
CS   - Centre Stage
DCS - Down Centre Stage
ULS - Upper Left Stage
CLS - Centre Left Stage
DLS - Down Left Stage

Senaman Fizikal diperlukan oleh seseorang pelakon untuk merangsang kecergasan.  Aktiviti regangan juga penting sebelum senaman fizikal dimulakan. Dua jenis latihan yang biasa diamalkan ialah latihan pemusatan dan latihan asas seniLatihan pemusatan yang dimaksudkan ialah spine roll dan pendulum

Latihan pemusatan diperlukan untuk postur, mengurangkan ketegangan dan persediaan untuk latihan vokal.  Manakala pendulum pula dilakukan dengan kaedah berdiri setempat dan menggoyangkan badan kehadapan dan kebelakang bertujuan untuk memfokuskan kepada keseimbangan badan.  Latihan asas seni pula meliputi seni silat, senam tari dan tarian.

Setelah berakhirnya Anugerah Skrin 2015 ini, sekalung tahniah diucapkan kepada semua pemenang khususnya Beto Kusyairi, Lisa Surihani, Amar Asyraf dan Sara Ali.

Sempena Sambutan Hari Deepavali yang disambut di Malaysia pada hari ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu. Semoga kebahagiaan akan mengatasi kedukaan, kekayaan akan mengatasi kemiskinan, kesihatan akan mengatasi kesakitan dan kelebihan akan mengatasi kekurangan.

Wassalam.


Monday, 9 November 2015

Kem Sosio Budaya

ASAS TARI


Assalam & Salam 1Bahasa,


Bertemu lagi di nukilan saya yang seterusnya dan pada hari ini saya ingin memperkatakan mengenai Seni Asas Tari yang kami pelajari semasa menghadiri Kem Sosio Budaya di Samudera Bidara Beach Resort.


Semasa sesi pendaftaran bersama pelajar-pelajar IKTBN Alor Gajah

Pn Amy Kristina merupakan pengajar asas tarian kami yang juga merupakan Jurulatih Bertauliah dari JKKN Melaka yang mengajar asas tarian Inang. 

Sedikit fakta sejarah yang boleh saya kongsikan bersama ialah Tarian Mak Inang ini dicipta semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka.  Tarian ini amat terkenal pada masa dahulu sebagaimana ianya terkenal pada hari ini.  Tajuk lagu Mak Inang yang mengiringi tarian ini telah dititahkan ciptaannya oleh Sultan Mahmud Shah yang sangat gemarkan kesenian.  Asal namanya Tarian Mak Inang dikenali juga sebagai Tarian Inang (versi moden) atau dikenali juga sebagai Tarian Si Kembang Cina banyak dipersembahkan pada majlis-majlis keramaian dan perkahwinan.

Inang memberi maksud pengasuh yang memberi gambaran kelembutan dan sopan santunnya seorang wanita pengasuh.  Tempo pergerakan tarian inang yang sederhana ialah 2/4 diselangi dengan paluan gong.  Inang juga boleh ditarikan dengan pantas iaitu 4/4 berdasarkan irama masri.

Lenggok Tari Inang yang biasa ditarikan ialah Inang Selendang, Ayam Didik, Tari Payung, Tari Sapu Tangan atau Tari Lilin dan lain-lain bergantung kepada peralatan dalam tarian tersebut.

Oleh kerana kami mempunyai masa yang suntuk untuk persembahan Malam Kebudayaan, kami telah memilih Tarian Endang sebagai persembahan dari kami peserta Kem Sosio Budaya.


Tarian Endang dari wakil team Seni Tari

Putik pauh delima batu,
Anak semilang di tapak tangan,
Tuan jauh beribu batu,
Di mata hilang di hati jangan.

Pikul bakul buah keranji,
Pengandar kayu satu depa,
Sudah menang kata janji,
Menjadi abu saya tak lupa.

Bersama Penghulu Kami Merangkap Ketua Kampung.. :)

Sekian sehingga bertemu di lain lembaran.

Wassalam


Sunday, 8 November 2015

Warisan Budaya

Warisan Budaya Negeri Melaka


Assalamualaikum dan Salam 1Bahasa,

Beli lauk di pasar lambak,
Dapat ketam tidak berjari,
Perahu karam ku redah ombak,
Kerana tuan saya ke mari.

Selesai sudah Kem Sosio Budaya Zon Selatan 2015 yang dianjurkan oleh JKKN Melaka bersama Produksi Bayangan Seni dari 6hb November hingga 8hb November 2015.  Apabila memperkatakan mengenai bahasa, kita juga memperkatakan juga mengenai sosio budaya yang meliputi seni tari, seni lakon/teater dan juga seni muzik/irama.  

Bagi negeri Melaka, sudah tentulah Pantun, Dondang Sayang dan Syair yang paling dekat dihati warganya.  Semasa mengikuti kem tersebut, saya tertarik dengan dendangan syair, seloka dan pantun yang berbagai lagu dan rentak yang ada dan salah satu daripada seloka yang kami pelajari ialah Seloka Pak Kaduk.  Seloka ini merupakan satu cara sindiran atau kiasan yang disampaikan dengan berlagu yang penuh dengan mesej tersirat. 

Umum mengetahui bahawa warga timur khususnya warga Malaysia amat berhati-hati dalam teguran. Begitu juga dengan seloka ini yang mana pencipta selokanya ingin menyampaikan mesej bahawa berjudi dan mempertaruhkan kampung halaman itu adalah sesuatu yang dilarang sehingga Pak Kaduk kehilangan sesuatu yang amat berharga.   


Tujuh luk keris pusaka,
Tanduk rusa di Tanjung Jati,
Sama duduk kita bersuka,
Untung-untung terhibur hati.

Wassalam.

Thursday, 5 November 2015

Strategi Kedua

Assalamualaikum & Salam 1Bahasa,


Strategi MBMMBI yang kedua ialah ...

Memantapkan Kompetensi Guru Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.


KPM telah merancang pelbagai program latihan untuk memantapkan kompetensi Guru dan di antaranya ialah seperti berikut:

  • Latihan Guru Praperkhidmatan
  • Latihan Pembangunan Sumber Manusia
  • Kursus Dalam Perkhidmatan
  • Latihan Guru Praperkhidmatan Institut Pendidikan Guru Malaysia di Pusat Kecemerlangan Bahasa Melayu
  • Latihan Guru Praperkhidmatan Institut Pendidikan Guru Malaysia di Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris
  • Professional Up-skilling of English Language Teachers (Pro-ELT)
 
Sila rujuk Strategi MBMMBI untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai strategi yang telah dan akan dilaksanakan.


Wassalam.

Strategi Pertama

Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris

Strategi Pertama MBMMBI Mentransformasi Kurikulum Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris

Assalamualaikum & Salam 1 Bahasa,

Bahasa kita biarlah bahasa cinta........

Memartabatkan Bahasa Melayu bermaksud meletakkan Bahasa Malaysia pada tempat sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia serta merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996.  Tujuan utama memartabatkan bahasa Malaysia adalah kerana Bahasa Malaysia menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa.

Memperkukuh Bahasa Inggeris membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.  Tujuan utama memperkukuhkan bahasa Inggeris adalah kerana bahasa Inggeris menjadi alat yang membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing diperingkat nasional dan global.

Strategi Memartabatkan Bahasa Malaysia ini meliputi:
  • Pendekatan Modular Kurikulum Bahasa Malaysia
  • Asas Berbahasa
  • Didik Hibur
  • Penggunaan Bahasa Melayu Standard Merentas Kurikulum
  • Tekonologi Maklumat dan Komunikasi dalam P&P
  • Program Bacaan
  • Guru Bahasa Malaysia Berkualiti
  • Persekitaran Pembelajaran yang Kondusif
  • Bahasa Malaysia Bahasa Ilmu dan Komunikasi
  • Kolaborasi Antarabangsa Kursi Bahasa Malaysia di Universiti Luar Negara
  • Syarat Layak Masuk Institut Pengajian Tinggi

Strategi Memperkukuhkan Bahasa Inggeris pula meliputi:
  • Penambahan Masa P&P Bahasa Inggeris
  • Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Rendah
  • Asas Berbahasa
  • Didik Hibur
  • Elemen Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
  • Penetapan Model Bahasa Inggeris
  • Transformasi Kurikulum Bahasa Inggeris Sekolah Menengah
  • Sumber P&P - Makmal Komputer
  • Guru : Contact Time Berkualiti
  • Perkongsian dan Jaringan Guru
  • Kepimpinan Sekolah

Bahasa Malaysia ialah jati diri dan acuan negara Malaysia.  Sejarah, tamadun dan asas dasar pembinaan negara ini perlu diakui dan dihormati tanpa berbelah-bahagi jika kita benar-benar mengaku cintakan negara ini.  Maka dengan ini Bahasa Malaysia hendaklah diperkasakan dan diberi nilai ekonomi yang tinggi, digunakan sepenuhnya oleh sektor awam dan swasta dalam urusan rasmi khususnya yang bersifat domestik.

#sehatisejiwa

Wassalam.