ASAS TEATER - bahagian II
Assalamualaikum dan Salam 1Bahasa,
Bersambung pula dalam Seni Asas Teater yang pernah saya paparkan entrinya sebelum ini. Jikalau dahulunya saya pernah menceritakan mengenai pengenalan teater dan olah tubuh. Pada kali ini saya ingin membicarakan mengenai improvisasi, gerak dan penceritaan yang perlu dipelajari oleh seseorang yang ingin melibatkan diri dalam teater/lakonan.
1. Improvisasi
Improvisasi dalam teater membawa maksud mengubah, membaca, mengucap atau melakukan sesuatu tanpa persiapan. Perlakuan yang dihasilkan secara tiba-tiba, secara bebas dan bersahaja sama ada dengan menggunakan alatan atau tanpa peralatan. Improvisasi terbahagi kepada 4 jenis iaitu:
- Improvisasi alat
- Improvisasi pergerakan
- Improvisasi kepekaan deria
- Improvisasi situasi
2. Gerak
Gerak dalam teater bermaksud meneroka dan melahirkan ekspresi melalui aktiviti seperti:
- Gerak alam
- Gerak meniru
Pergerakan merangkumi pelakuan-pelakuan keluar, masuk, menyeberang, duduk, bangun, naik turun tangga, berlari, melompat di atas pentas dan sebagainya.
Tujuan pergerakan ialah untuk:
- mencantikkan produksi dan pementasan
- menarik perhatian penonton kepada watak atau ruang tertentu
- mengubahsuaikan adegan kelompok individu atau watak tertentu supaya tidak kaku dalam lakonan
- menarik perhatian penonton kepada ruang lakon tertentu
- menonjolkan emosi watak dan pelakon
- menonjolkan latar belakang pentas dan juga suasana adegan
- mengimbangi ruang pentas atau ruangan lakonan
- tujuan teknikal untuk membaiki komposisi
3. Penceritaan
Penceritaan atau kemahiran bercerita perlu untuk difahami oleh seseorang pelakon agar keyakinan diri seseorang dapat dibentuk semasa berhadapan dengan khalayak ramai. Selain itu, pelakon mampu meneliti dan menginterpertasi bahan penceritaan yang disampaikan serta mampu mengaplikasi teknik dan kemahiran teater dalam penceritaan. Teknik dan gaya penceritaan yang biasa digunakan ialah dengan menggunakan kaedah monolog dan monodrama.
Sekian, semoga bertemu di lain lembaran.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment