Welcome

animasi-bergerak-selamat-datang-0291

Thursday, 12 November 2015

Joget Lambak

Orang Melaka Berjoget Lambak



Assalamualaikum & Salam 1Bahasa,



Kita masih berada dalam bulan bahasa kebangsaan dan seperti yang telah diperkatakan sebelum ini selain bahasa yang perlu dipertahankan, budaya Melayu yang lainnya juga perlu dipertahankan malah diperkembangkan lagi.

Joget lambak di negeri Melaka dipercayai datangnya dari pengaruh barat yang dibawa oleh Portugis. Mereka mulanya datang kerana hubungan dagang kemudiannya menghidupkan budaya bersuka-suka dan menari-nari selepas menyerang negeri Melaka. Mereka membawa sekali biola sebagai salah satu instrumen muzik dalam budaya mereka yang menawan hati penduduk tempatan. 

Di zaman silam, dalam setiap majlis perkahwinan akan adanya joget lambak yang akan diadakan pada sebelah malam.  Pemuzik akan bermain di hujung serambi sambil gadis-gadis penari menari di atas serambi atau di dalam rumah. 


Buah petai buah jering,
Buah cempedak belum masak,
Apa diintai celah dinding,
Orang bertandak joget lambak.


Kedatangan bulan Safar amat dinanti-nantikan oleh penari Joget Lambak. Bagi orang Melayu di Melaka, setiap hari Rabu minggu terakhir dalam bulan Safar adalah hari untuk bersuka ria yang disebut "Rabu Capuk".  Pada hari berkenaan, temasya terbesar akan diadakan di Tanjung Kling. Orang ramai berhimpun di sana mulai hari Selasa.  Paling meriah, kumpulan yang datang dengan kereta lembu.  Mereka akan berkampung dengan membawa semua peralatan kelengkapan termasuk makanan di sekitar kawasan kereta lembu.

Hari Rabu ketiga dalam bulan Safar, temasya Joget Lambak diadakan di Pulau Besar.  Manakala hari-hari Rabu sebelumnya akan diadakan di perkampungan secara kecil-kecilan seperti Bukit Gedung, Duyung, Pantai Nikmat dan Batu Gajah.

Joget Lambak tidak lagi popular selepas larangan dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri Melaka kerana Joget Lambak telah bertukar cara apabila pengaruh Inggeris mula menular.  Rentak Joget Lambak telah ditambah dengan rentak yang diimport dari Barat iaitu samba, rumba, caca, tango, mambo dan slow folk.  Paling ketara perubahannya ialah penari yang bertandak yang mana sejak dahulu hanya perempuan berpasangan dengan perempuan telah bertukar kepada perempuan dengan lelaki.  Pada zaman perubahannya, Joget Lambak ini disebut juga dengan nama Joget Karan.

Bahasa Kita Biarlah Bahasa Cinta...

Wassalam.


No comments:

Post a Comment