Warisan Budaya Negeri Melaka
Assalamualaikum dan Salam 1Bahasa,
Beli lauk di pasar lambak,
Dapat ketam tidak berjari,
Perahu karam ku redah ombak,
Kerana tuan saya ke mari.
Selesai sudah Kem Sosio Budaya Zon Selatan 2015 yang dianjurkan oleh JKKN Melaka bersama Produksi Bayangan Seni dari 6hb November hingga 8hb November 2015. Apabila memperkatakan mengenai bahasa, kita juga memperkatakan juga mengenai sosio budaya yang meliputi seni tari, seni lakon/teater dan juga seni muzik/irama.
Bagi negeri Melaka, sudah tentulah Pantun, Dondang Sayang dan Syair yang paling dekat dihati warganya. Semasa mengikuti kem tersebut, saya tertarik dengan dendangan syair, seloka dan pantun yang berbagai lagu dan rentak yang ada dan salah satu daripada seloka yang kami pelajari ialah Seloka Pak Kaduk. Seloka ini merupakan satu cara sindiran atau kiasan yang disampaikan dengan berlagu yang penuh dengan mesej tersirat.
Umum mengetahui bahawa warga timur khususnya warga Malaysia amat berhati-hati dalam teguran. Begitu juga dengan seloka ini yang mana pencipta selokanya ingin menyampaikan mesej bahawa berjudi dan mempertaruhkan kampung halaman itu adalah sesuatu yang dilarang sehingga Pak Kaduk kehilangan sesuatu yang amat berharga.
Tujuh luk keris pusaka,
Tanduk rusa di Tanjung Jati,
Sama duduk kita bersuka,
Untung-untung terhibur hati.
Wassalam.