Welcome

animasi-bergerak-selamat-datang-0291

Wednesday 11 November 2015

Ilmu Sepanjang Hayat

PEDAGOGI...



Assalamualaikum & Salam 1Bahasa,



Menjelang keputusan peperiksaan UPSR pada hari Selasa minggu hadapan, saya berminat untuk memperkatakan mengenai pedagogi dalam nukilan saya pada hari ini.  

Apa sebenarnya pedagogi ini?  Di mana biasa akan kita dengar perkataan pedagogi ini?  

Sebagai pelajar, pedagogi ini harus dekat dengan kehidupan anda kerana ia berkaitan seni pengajaran seseorang guru/pendidik/pengajar atau apa sahaja yang anda gelarkan kepada seseorang yang mencurahkan ilmu kepada anda.

Menurut Kamus A New English Dictionary, pedagogi sebagai ilmu pendidikan atau kaedah mengajar.  Kamus Dwibahasa menterjemahkan perkataan pedagogi sebagai ilmu pendidikan. Mengikut sejarah, perkataan pedagogi berasal daripada perkataan Yunani, pedagogue, yang bermaksud seorang tutor atau pendidik yang mempunyai bakat dan kecekapan melaksanakan tugas-tugas pengajaran dengan secara berkesan, khasnya dalam bidang perkembangan kanak-kanak dari segi kognitif, psikomotor dan afektif mereka.

Ilmu pedagogi ini sentiasa berkembang dari semasa ke semasa yang berubah mengikut perkembangannya.  Dengan bertambahnya kajian bercorak saintifik pada masa kini terhadap teori pengajaran dan pembelajaran berlandaskan psikologi perkembangan kanak-kanak, objektif pendidikan serta kurikulum sekolah, konsep pedagogi lebih tepat lagi dikatakan sebagai sains pengajaran dengan tujuan untuk mendapatkan hasil pengajaran yang berkesan.

Dalam kurikulum perguruan, Pedagogi merupakan suatu bidang Ilmu Pendidikan yang terpenting untuk dikaji dan dipelajari oleh guru-guru pelatih yang mengikuti kursus Ilmu Pendidikan di universiti pendidikan dan institut perguruan. Melalui kursus ini, guru-guru pelatih akan dapat dilatih menguasai kemahiran-kemahiran dan teknik-teknik yang berlandaskan teori pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Penguasaan kemahiran mengajar ini merupakan syarat yang mutlak untuk membantu guru menjalankan tugas dengan berkesan serta kecekapan secara profesional.

Melalui pedagogi, guru dapat menimba ilmu pendidikan dalam berbagai cabang seperti berikut;

  • pengurusan bilik darjah
  • interaksi dan komunikasi dalam bilik darjah
  • konsep, teori dan model pengajaran dan pembelajaran
  • pendekatan, strategi, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran
  • perangkaan asas untuk penilaian
  • penilaian kendalian berasaskan sekolah
  • pemulihan dan pengayaan
  • pendidikan inklusif dan pendidikan khas


Ringkasnya, pengertian pedagogi boleh dihuraikan sebagai salah satu bidang ilmu pendidikan yang berkaitan dengan kajian secara saintifik atas prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah mengajar, merangkumi proses pengajaran yang optimum. (Pedagogi untuk Pengajaran dan Pembelajaran, Mok Soon Sang, 2011).  

Jadi, setelah berakhirnya Kem Sosio Budaya yang saya dan pelajar-pelajar IKTBN Alor Gajah hadiri, saya berpendapat guru-guru yang mengajar teater, tarian dan muzik sangat berkemahiran dan menarik.  Terima kasih Cikgu, Maafkan Kami Cikgu, Halalkan ilmu yang diberi dan Doakan kejayaan kami Cikgu.

Wassalam.