Pantun Lirik Nyanyian (Madulara)
Assalamualaikum dan Salam 1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara,
Hari ini saya ingin membicarakan mengenai pantun yang merupakan elemen terpenting dalam joget lambak. Kerancakan berbalas pantun akan menentukan tahap meriahnya, selain daripada penampilan gadis-gadis bertandak. Pantun yang baik dan didendangkan dengan baik serta menepati jawapan akan mendapat perhatian malah diberi tepukan oleh penonton.
Pantun yang didendangkan hanya pentun empat kerat atau disebut juga pantun empat baris dengan lengkap dua baris pembayang dan dua baris lagi maksudnya. Seperti contoh:
Lembu baru kereta baru,
Baru sekali masuk Melaka,
Tuan baru saya pun baru,
Belum pernah kenal biasa.
Bagi masyarakat Melayu lama, pantun menjadi hiasan bibir dan lumrah baik semasa perbincangan, urusan rasmi, adat istiadat, perkahwinan atau menguruskan hal-hal masyarakat sekampung seperti:
Asam rumbia dibelah-belah,
Buah salak di dalam raga,
Dunia ikut firmah Allah,
Akhirat nanti mendapat syurga.
Orang bergalah dari Jambi,
Putus ikatan rakitnya pecah,
Belum kembang bunga di sini,
Menjahit sesat memasak mentah.
Pasang lilin malam Jumaat,
Nampak berbalam cahaya api,
Tepuk bantal panggil semangat,
Semangat datang dalam mimpi.
Bawa dupa dari Langkat,
Tempat orang bakar setanggi,
Sudah sekata dalam muafakat,
Tidak boleh diungkit lagi.
Pantun adalah puisi lama. Sikap orang Melayu yang lemah lembut, bersopan santun, tidak suka menyatakan sesuatu yang boleh menyentuh hati pihak lain dengan terus terang, maka pantunlah menjadi alat penyampaiannya. Kerana melalui pantun, sesuatu yang disampaikan atau diluahkan dapat mengelak daripada perasaan seseorang yang terusik menjadi berang serta merta. Tetapi maksud yang diluahkan sangat tepat dan kesannya sangat mendalam.
Pantun boleh menyimpul pengertian yang luas dan maksudnya sampai ke dalam lubuk hati orang yang mendengarnya. Kias ibarat dan sindiran mampu dibawa oleh pantun. Kata-kata pedas atau ungkapan mengusik tidak begitu ketara lahirnya, lantaran susunan kata-katanya yang indah. Sebuah pantun boleh menyimpul banyak makna. Contohnya:
Dari kuala menghilir rakit,
Batang buluh diikat rotan,
Jangan cuba cari penyakit,
Harimau tidur hendak kejutkan.
Pantun adalah alat komunikasi antara satu pihak dengan pihak yang lain. Dalam joget lambak, seperti Dondang Sayang, pantun yang didendangkan adalah dicipta dan dikarang secara spontan ketika itu juga. Pemantun mestilah cekap menangkap maksud pantun yang dijual dan segera membeli dengan pantun jawapannya.
Sungguhpun begitu, pantun adalah puisi lama yang hidup dan tidak statik. Pantun boleh berubah mengikut kecekapan penciptanya atau berdasar masa dan alam sekitarnya. Sekian.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment