Variasi Pemantun
Assalamualaikum dan Salam 1Bahasa,
Bertemu lagi dalam entri terbaharu saya dan kali ini saya ingin menyenaraikan beberapa variasi dalam melagukan pantun contohnya pantun yang bertemakan:
a) Budi,
b) Laut,
c) Burung,
d) Harimau,
e) Ayam,
f) Kias Ibarat dan
g) Kasih
a) Pantun Bertemakan Budi
Jauh ke tengah Pulau Undan,
Pasang Layar pengganti dayung;
Bukan nasib permintaan badan,
Kerana budi jasad menanggung.
Tebu sebatang beruas-ruas,
Sebatas bersama sayur pegaga;
Kerana budi tak minta balas,
Pahit maung ditahan juga.
Pokok selasih di petak keladi,
Buat hiasan laman Cik Nyonya;
Hilangkan kasih kerana budi,
Kalau emas datang gantinya?
Duduk menyukat beras padi,
Beras pulut ambil secupak;
Kalau tahu menilai budi,
Apa dipandang emas perak?
b) Pantun Bertemakan Laut
Pokok nibung batang berduri,
Rumah buruk tidak berpasak;
Saya tidak pandai menyanyi,
Suara serak lagunya rosak.
Bawa lengkuas dari Daik,
Gunung Banang tampak berbalam;
Laut luas cuaca pun baik,
Hati senang belayar malam.
Buat kuih beras pulut,
Hendak wangi dicampur pandan;
Layar dikembang kemudi kupaut,
Kalau tak laju celaka badan.
Nampak api di Paya Lebar,
Orang berhenti di pengkalan;
Laju-laju perahu belayar,
Jaga kemudi jaga haluan.
c) Pantun Bertemakan Burung
Rempah ratus di dalam balang,
Tidak dicampur dengan ketumbar;
Mana sama si burung helang,
Ikan di sungai boleh disambar.
Orang meraut bilah rotan,
Duduk tersandar di tengah rumah;
Jadi penunggu pokok di hutan,
Buah ranum burung tak jamah.
Pergi ke pantai tangkap belangkas,
Dapat dua bagi bertiga;
Sudahlah kuat lagi tangkas,
Ayam didik pun di sambar juga.
Tengah hari cuaca panas,
Turun ke sawah bakar jerami;
Sudah buas lagi ganas,
Ditembak orang jatuh ke bumi.
d) Pantun Bertemakan Harimau
Sampan belayar ke Tanjung Balai,
Bawa orang Tanjung Rimau;
Jaga diri jangan lalai,
Silap-silap dicakar harimau.
Sirih naik junjung patah,
Makan sekapur pinangnya kering;
Hilang kuat hilang gagah,
Disimpai kancil harimau terbaring.
Kayu lebam di dalam paya,
Ambil sebatang dibuat galah;
Kalau tak ada ilmu perdaya,
Harimau gagah tak akan kalah.
Buah langsat buah rumbia,
Patah dahan jatuh bersepah;
Itulah adat dalam dunia,
Kuasa bukan kerana gagah.
e) Pantun Bertemakan Ayam
Pakai baju kasa jarang,
Cucuk sanggul bunga melati;
Sama kuat sama garang,
Jaguh bangkit menentang lagi.
Terbang punai melayang-layang,
Pokok leban lebat buahnya;
Dalam bangun terhuyung-hayang,
Disabung jalak terkulai lehernya.
Mari hinggap di atas bumbung,
Merbuk jinak terlepas sangkarnya;
Sudah adat ayam bersabung,
Ada menang ada kalahnya.
Taruh mari di dalam dulang,
Buah cempedak dengan kepaya;
Kesian jaguh nasibnya malang,
Di mata pisau akhir hidupnya.
f) Pantun Bertemakan Kias Ibarat
Susun-susun batang sagu,
Hanyut ditarik dengan perahu;
Adat kami orang menunggu,
Adat tuan saya tak tahu.
Belah-belah si batang pinang,
Buat balai di rumah Pak Uda;
Sudah lumrah adat meminang,
Datang menyebut menghantar tanda.
Dinihari tengah malam,
Puput bayu terasa sejuk;
Pejam celik siang malam,
Jalan sampai kucing bertanduk.
Naik junjung pokoknya kacang,
Hujung petak pokok jerimin;
Tahun ini orang merancang,
Tahun depan naik pelamin.
g) Pantun Bertemakan Kasih
Kalau roboh Kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan;
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa saya taruhkan.
Pakai baju pakai butang,
Kain selempang letak ditepi;
Ikat janji bulan dan bintang,
Cahayanya terang sampai ke bumi.
Buah jering buah nangka,
Letak bersama buah keranji;
Sampai kering Laut Melaka,
Baru saya mungkirkan janji.
Berapa besar kereta keldai,
Besar lagi kereta kuda;
Saputangan beli di kedai,
Cincin di jari apakah tanda?
Wassalam.