Welcome

animasi-bergerak-selamat-datang-0291

Tuesday, 16 February 2016

Indah Bahasa

Assalamualaikum dan Salam 1 Bahasa,


Kali ini saya ingin berkongsi maksud perkataan, cerita peribahasa, tip menjimatkan wang saku anak-anak dan betulkan yang biasa.

A) Kamus anda

(i) 
Perkataan: hemah
Maksud: budi pekerti yang mulia atau tingkah laku yang baik
Ayat: Beliau sangat dikenali oleh penduduk di sini kerana keikhlasannya dan hemahnya.

(ii)
Perkataan: hemat
Maksud: cermat atau tidak boros
Ayat: Rakyat Malaysia hendaklah hemat berbelanja kerana negara kita sedang mengalami kegawatan ekonomi.

B) Cerita Peribahasa

Seperti Kerakap Tumbuh di Batu, Hidup Segan Mati Tak Mahu

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, hidup Pak Kaman sekeluarga masih terlalu miskin dan melarat. Ada sahaja kemalangan menimpanya dan yang terakhir pondok tempat mereka tinggal pula terbakar. Hal ini menyebabkan tujuh orang anaknya diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing. Sementara Pak Kaman pula dihantar ke rumah kebajikan. Keadaan Pak Kaman itu dapatlah diibaratkan seperti kerakap tumbuh di batu, hidup segan mati tak mahu.

C) Tip

Langkah menjimatkan Wang Saku Anak-anak

1. Bawa air minuman dari rumah
2. Bersarapan di rumah
3. Asingkan wang lebihan terlebih dahulu
4. Beli makanan yang mengenyangkan 
5. Beli barangan yang perlu sahaja
6. Simpan wang lebihan

D) Betulkan yang biasa

Kesalahan penggunaan kata ganti nama diri

Rumus: Kata ganti nama beliau digunakan untuk orang yang dihormati seperti pegawai kerajaan, syarikat swasta dan ibu bapa. Kata ganti nama ini tidak sesuai digunakan untuk orang yang tidak dihormati seperti penjenayah atau kanak-kanak.

Contoh:


  • "Aku tidak memahami tajuk yang diajarkan oleh beliau," kata Asraf kepada rakannya.
  • Budak kecil itu menangis dengan sekuat-kuatnya kerana ia lapar.
  • Perompak itu dapat melepaskan dirinya daripada pemeriksaan polis kerana dia menyamar seperti peminta sedekah.


Sekian, Wassalam.

Tuesday, 9 February 2016

Penguasaan Bahasa Melayu (Bahagian 2)

Assalamualaikum dan Salam 1Bahasa,


Seperti yang dijanjikan pada entri kali ini saya akan menyambung bahagian kedua Morfologi iaitu proses pembentukan kata Bahasa Melayu.

2. Proses pembentukan kata dalam Bahasa Melayu dari segi bentuk terbahagi kepada empat iaitu:

2.1 Bentuk kata tunggal
2.2 Bentuk kata terbitan
2.3 Bentuk kata majmuk
2.4 Bentuk kata ganda

2.1 Bentuk Kata Tunggal
Kata tunggal ialah perkataan dalam bahasa Melayu yang tidak menerima sebarang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan dan perangkaian. Terdapat dua jenis kata tunggal iaitu:

2.1.1 Kata tunggal satu suku kata
Contoh: yu, ru, am, cat, draf, teks, skrip

2.1.2 Kata tunggal dua suku kata atau lebih
Contoh: aku, ibu, air, ais, buih, pukul, sendi, junjung

2.1.3 Kata tunggal tiga suku kata
Contoh: suara, tuala, piutang, kiamat, mentega, riwayat

2.1.4 Kata tunggal empat suku kata dan lebih
Contoh: keluarga, bijaksana, samudera, hulu balang, cenderawasih, maharajalela

2.2 Bentuk Kata Terbitan
Kata terbitan ialah bentuk perkataan yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan, iaitu proses yang menggandingkan imbuhan pada kata dasar. Imbuhan pula dibahagikan kepada empat jenis iaitu:

(i) Awalan, yang hadir sebelum kata dasar
(ii) Akhiran, yang hadir sesudah kata dasar
(iii) Apitan, yang hadir secara mengapit kata dasar, iaitu dua bahagian imbuhan hadir serentak di awal dan di akhir kata dasar
(iv) Sisipan, yang hadir di celah kata dasar

2.2.1 Kata Terbitan Berawalan

Soalan contoh:

i. Kami sungguh tersentuh kerana guru yang kami sayangi akan berpindah ke sekolah lain.
(Jawapan: terharu)

ii. Harishah telah lulus dengan cemerlang dalam PT3 kerana dia selalu berdepan dengan buku.
(Jawapan: berdamping)

2.2.2 Kata Terbitan Berapitan

(a) Apitan kata nama

Soalan contoh:

i. Kerja-kerja pembungkusan makanan segera telah dilakukan oleh pekerja perkilangan itu sebelum proses penghantaran dilakukan.
(Jawapan: kilang)

ii. Jawatankuasa pelaksanaan Hari Aspresiasi Murid akan mengadakan mesyuarat pada petang ini.
(Jawapan: pelaksana)

(b) Apitan kata kerja

Soalan contoh:

i. Abang terlambat bangun pada pagi tadi sehingga menyebabkan biliknya kelihatan bertaburan.
(Jawapan: berserakan)

ii. Puan Selvarani terpaksa memawahkan rumahnya di Bangsar kepada jiran sebelahnya kerana dia berpindah ke Kota Bharu.
(Jawapan: mencagarkan)

2.3 Bentuk Kata Majmuk
Kata majmuk ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna yang khusus. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit.

Soalan contoh:

i. Kerajaan negeri Melaka berusaha memulihara warisan sejarah dengan membaikpulih bangunan lama dengan memperuntukkan belanja yang besar.
(Jawapan: membaik pulih)

ii. Cikgu Faridah meminta murid-muridnya mengemaskini buku nota masing-masing untuk disemak oleh pengetua.
(Jawapan: mengemas kini)

iii. Bilik Pusat Sumber sekolah kami akan dinaiktaraf dengan memasang alat pendingin hawa agar suasananya lebih kondusif.
(Jawapan: dinaik taraf)

2.4 Bentuk Kata Ganda
Kata ganda ialah proses menggandakan keseluruhan kata dasar sama ada kata dasar itu mengandungi imbuhan ataupun tidak.

2.4.1 Penggandaan penuh
2.4.2 Penggandaan penuh kata tunggal
2.4.3 Penggandaan penuh kata berimbuhan

Soalan contoh:

i. Senarai barang-barang keperluan yang perlu dibawa oleh peserta kursus kepimpinan murid telah disediakan oleh urus setia sebelum pendaftaran
(Jawapan: barang)

ii. Di majlis perkahwinan anak Datin Rashidah, kelihatan tetamu berganti-ganti menyiramkan air mawar kepada kedua-dua mempelai ketika adat bersanding dilangsungkan
(Jawapan: bergilir-gilir)

Sekian, Wassalam.



Monday, 1 February 2016

Penguasaan Bahasa Melayu

Asssalamualaikum dan Salam Sejahtera,


Entri saya pada kali ini akan memfokuskan kepada penguasaan bahasa yang berkaitan golongan kata dan proses pembentukan kata.

BAHAGIAN MORFOLOGI

1. Golongan kata bahasa Melayu terbahagi kepada empat iaitu:

1.1 Kata Nama
1.1.1 Kata Ganti Nama Diri (Pertama, Kedua dan Ketiga) dan Bahasa Istana

Soalan Contoh:
Kesalahan tatabahasa ayat dibawah akan digariskan dan dihitamkan.

a) "Izinkan saya membawa santapan ke bilik tuan puteri", sembah ketua dayang kepada Sultan Mahmud.
(Jawapan: patik)

b) "Bolehkah awak jelaskan kepada kawan-kawan awak itu supaya dia tahu bahawa aktiviti kokurikulum sangat berfaedah kepada semua murid", pinta Ahmad kepada Ali.
(Jawapan: mereka)

c) Beliau tidak dapat hadir ke Majlis Santapan itu kerana bondanya gering.
(Jawapan: Baginda)

1.2 Kata Kerja
1.2.1 Kata Kerja Tunggal dan Kata Kerja Berimbuhan

Soalan Contoh:
Kesalahan tatabahasa ayat dibawah akan digariskan dan dihitamkan.

Apabila hidangan telah dihidangkan, dayang istana meminta Tuan Puteri Kenchana untuk makan. Selesai sahaja bersantap bersama Tuan Puteri Kenchana itu, baginda pulang ke istana dengan diiringi pegawai diraja. Oleh sebab perjalanan yang jauh, baginda memberitahu para pembesarnya bahawa baginda ingin tidur. Keesokan harinya, baginda memerintahkan semua pengawal istana bersedia untuk menemani baginda berburu ke hutan.
(Jawapan: santap, berangkat, beradu, menitahkan)

1.3 Kata Adjektif
1.3.1 Kata Adjektif Tunggal

Soalan contoh:
Kesalahan tatabahasa ayat dibawah akan digariskan dan dihitamkan.

a) Para penyokong pasukan bola sepak Kedah yang berada di Stadium Malawati berasa cemas kerana peluang pasukan negeri mereka untuk memenangi pertandingan itu semakin parah.
(Jawapan: tipis)

b) Apabila hujan berterusan dari sehari ke sehari, cuaca di kawasan pantai terasa sangat segar terutama pada sebelah pagi.
(Jawapan: sejuk/dingin)

c) Solehah tetap gigih memotong daging yang keras itu untuk dimasak kari pada tengah hari ini.
(Jawapan: kenyal)

1.4 Kata Tugas
1.4.1 Kata Sendi Nama

Soalan contoh:
Kesalahan tatabahasa ayat dibawah akan digariskan dan dihitamkan.

Semua pengawas di dalam mesyuarat itu bersetuju untuk akur akan arahan guru disiplin yang datang daripada pihak sekolah. Oleh sebab itu, guru disiplin memaklumkan murid-murid agar mematuhi peraturan sekolah dari masa kepada masa. Sejak daripada itu, ibu bapa pula tidak jemu-jemu mengingatkan anak-anak mereka agar mematuhi peraturan sekolah. Pihak sekolah pula menampal peraturan sekolah itu pada papan tanda yang diletakkan ke kantin sekolah.
(Jawapan: dalam, ke, dari, di)

1.4.2 Kata Hubung

Soalan contoh:
Kesalahan tatabahasa ayat dibawah akan digariskan dan dihitamkan.



Amirah amat dikagumi oleh rakan-rakannya kerana dia bukan sahaja menerima anugerah murid cemerlang dalam akademik mahupun menerima anugerah murid cemerlang dalam kokurikulum. Dia sentiasa membaca buku bila ada masa lapang di rumahnya. Dia berazam agar memperoleh kejayaan cemerlang dalam PT3. Ibunya, Puan Munirah akan menghantarnya ke sekolah dengan mengambilnya dari sekolah pada setiap hari.
(Jawapan: bahkan, apabila, untuk, dan)

Sekian.

Pada entri seterusnya saya akan menerangkan mengenai bahagian kedua morfologi bahasa Melayu iaitu proses pembentukan kata bahasa Melayu.

2. Proses Pembentukan kata dalam bahasa Melayu dari segi bentuk terbahagi kepada empat iaitu:

2.1 Bentuk kata tunggal
2.2 Bentuk kata terbitan
2.3 Bentuk kata majmuk
2.4 Bentuk kata ganda

Sumber: BH Minda (Selasa, 12 Januari 2016)

Wassalam.